Bengkel HIV/AIDS & Remaja telah diadakan pada hari Sabtu, 14 Februari 2004, bermula dari pukul 9.30 pagi hingga 1 petang. Seramai 14 orang menghadiri bengkel ini. Kami telah menjemput Encik Chua Jia Yunn dan Cik Jeslyn Chan dari Malaysian AIDS Council untuk menyampaikan ceramah. Sebelum memulakan ceramah, Encik Chua telah menyediakan ujian untuk menguji pengetahuan kami dan kami telah diberi 5 minit untuk menjawab soalan-soalan. Sementara menunggu jawapan, kami telah ditanya apa maksud tanda HIV yang terdiri daripada ikatan reben yang pendek dan berwarna merah. Jawapannya ialah menolong, menyayangi dan memberi sokongan kepada orang yang mempunyai HIV. Beliau menyampaikan ceramah berjudul “Apakah itu HIV?”, “Bagaimana boleh mendapatkan HIV?”, “Cara untuk mengelakkan daripada HIV?”, dan “Apakah itu AIDS?”. Ceramah tersebut yang disampaikan oleh Encik Chua itu membuatkan kami berasa ingin tahu dan bertanya banyak soalan dan tidak berasa bosan. Dengan adanya bengkel tersebut, kami dapat memahami apa itu AIDS. Human Immunodeficiency Virus dikenali sebagai HIV merupakan sejenis virus yang mampu merosakkan sistem daya tahan badan kita manakala Acquired Immune Deficiency Syndrome yang dikenali sebagai AIDS merupakan satu jangkitan kurang daya tahan melawan penyakit.

Selain daripada ceramah tersebut, kami berpeluang turut serta dalam aktiviti permainan yang disediakan oleh Encik Chua. Permainan itu sangat seronok. Misalnya seseorang yang mempunyai HIV hendak berjabat dengan tangan orang lain maka dia akan menjangkiti HIV kepada orang tersebut. Tujuan permainan ini adalah untuk menerangkan bahawa penyakit HIV mampu mempengaruhi orang ramai dalam masa tempoh pendek. Dengan itu kami dapat memahami lebih dalam dan berasa seronok. Encik Chua juga menasihatkan kami supaya menjaga diri daripada melakukan sesuatu kesalahan. “Biar menyesal pun tidak guna”. Beliau menunjukkan butir kajian mengenai jumlah orang yang mempunyai HIV dan AIDS di Malaysia dari tahun 1996 hingga September 2003. Terdapat 56,677 orang telah menghidapi penyakit HIV dan AIDS. Di antara mereka para wanita merupakan jumlah orang yang menghidapi yang sangat tinggi iaitu sebanyak 94%. Selain ini, beliau juga menunjukkan beberapa sampel kondom dan cara bagaimana menggunakan kondom. Kondom digunakan untuk mencegah daripada mendapat penyakit HIV dan AIDS. Bengkel ini telah memberi ilmu tambahan yang tidak didapati di sekolah. Selepas ini, kami menerima keputusan bagi ujian yang telah diberikan pada permulaan. Akhirnya AJK kelab kami telah menyampaikan hadiah penghargaan kepada beliau. Kami berasa seronok kerana dapat menyertai bengkel yang berfaedah ini.
No comments:
Post a Comment